KUCHING: Ketua masyarakat di Sarawak disarankan mengemaskini data peribadi setiap penduduk kampung.
Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini penting agar mudah bagi kerajaan negeri dan persekutuan menyalurkan bantuan ketika negara berdepan dengan bencana.
“Ketua masyarakat seperti penghulu dan ketua kaum hendaklah sentiasa mengemaskini data penduduk dan kenal siapa di bawah jagaannya.
“Hal ini penting kerana melalui data berkenaan, maka mudah untuk kita (kerajaan) menyalurkan bantuan kepada penduduk kampung supaya tidak ada orang yang tercicir mendapat bantuan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching di salah sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya menasihati ketua masyarakat supaya bertanggungjawab dan sentiasa amanah dalam menjalankan tugas.
“Saya tahu, ini bukan senang kerana memerlukan kerja-kerja yang berterusan. Sebagai pemimpin kena tingkatkan pengetahuan dan guna teknologi untuk memudahkan kerja-kerja mengemaskini data penduduk,” ujarnya.
Beliau turut mengesyorkan kepada ketua masyarakat supaya mencari pakar atau belia yang mahir dalam bidang komputer agar dapat bekerjasama membantu mengemaskini data penduduk.
“Kita tidak mahu penduduk B40 tercicir daripada mendapat bantuan, oleh itu belia yang mahir dalam bidang komputer perlu rebut peluang ini untuk membantu ketua masyarakat.
“Apa yang kita lakukan di dunia ini dengan membantu orang lain, akan kita jawab di akhirat kelak,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman