
BINTULU: Ahli Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Bintulu dan Tatau diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan berkaitan aktiviti persatuan ke media sosial bagi memastikan imej organisasi itu sentiasa terpelihara.
Pengerusinya, Zainab Mat berkata, PPWS kini semakin mendapat perhatian masyarakat setempat dan setiap bahan yang dikongsi di platform seperti Facebook serta TikTok perlu diteliti terlebih dahulu sebelum disiarkan.
“Nasihat saya, jangan terlalu cepat memuat naik apa-apa aktiviti.
“Periksa dahulu sebelum dikongsi supaya tidak menjejaskan nama PPWS,” katanya pada program Hari Keluarga PPWS Bintulu dan Tatau di Bangunan PPWS Daerah di sini, hari ini.

Beliau berkata, menjaga imej persatuan adalah tanggungjawab bersama dan setiap ahli perlu memastikan kandungan yang disebarkan mencerminkan nilai profesionalisme serta adab yang menjadi identiti PPWS sejak ditubuhkan.
Dalam pada itu, Zainab memberitahu, penganjuran Hari Keluarga PPWS bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli melalui aktiviti santai seperti sukaneka, pertandingan masakan dan riadah.
“Program ini memberi ruang untuk kita berkumpul, berinteraksi dan merapatkan hubungan.
“Ia juga membantu mengukuhkan kerjasama dalam kalangan ahli,” katanya.
Zainab turut merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa (AJK) dan ahli yang menyumbang tenaga, hadiah dan bahan masakan bagi menjayakan program tersebut, selain mengalu-alukan sebarang teguran membina untuk penambahbaikan pada masa akan datang.
Oleh Carolyne Utih