
KUALA LUMPUR: Harga rasmi Proton Saga Serba Baharu diumumkan hari ini, dengan rebat pelancaran RM1,000 menjadikan varian Standard 1.5 ditawarkan pada RM37,990, Executive 1.5 pada RM43,990 dan Premium 1.5 pada RM48,990.
Proton Holdings Bhd secara rasmi melancarkan model ikonik ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), menandakan detik penting dalam evolusi sedan nasional itu sejak diperkenalkan pada 1985.
Dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Proton, Saga Serba Baharu menggunakan platform Seni Bina Modular Lanjutan (AMA) baharu dengan seni bina elektronik generasi terkini, membolehkan integrasi ciri pintar serta teknologi pemanduan autonomi masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong menegaskan pelancaran ini membuktikan kebolehan jurutera tempatan dan kematangan teknologi Proton sejak kerjasama dengan Geely pada 2017.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri serta barisan kepimpinan terdahulu Proton atas sokongan berterusan.
“Segala kejayaan Proton hari ini berdiri di atas usaha mereka yang datang sebelum kita. Kami berdiri di bahu tokoh-tokoh hebat yang telah membina asas selama lebih 40 tahun,” katanya.
Saga Serba Baharu ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium dengan lima pilihan warna menarik.

Model ini dilengkapi enjin 1.5L i-GT bersama transmisi CVT baharu, sistem stereng berkuasa elektrik (EPS) dan talaan pengendalian Proton yang mantap, menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC).
Aspek keselamatan dipertingkat melalui Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1 dengan sembilan fungsi termasuk AEB, FCW, RCTA, LDW dan LCA, disokong enam beg udara serta struktur badan RESS dengan teknologi Pembentukan Tekan Panas (HPF).
Kabin hadir dengan dwi-skrin 16 inci bersepadu menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar, lampu utama automatik, Follow-Me-Home serta pelarasan lampu utama.
Rekaan luaran menampilkan gril motif Sulaman Songket, lampu utama LED projektor penuh dan bar lampu belakang LED.

Pelancaran hari ini turut menyaksikan sesi bergambar bersama barisan kepimpinan Proton dan wakil jualan, selain menerima sambutan hangat daripada tetamu dan pengunjung.
Proton juga mengumumkan kempen promosi nasional merangkumi kolaborasi media, kandungan digital dan siaran langsung bagi mengetengahkan naratif pembangunan Saga Serba Baharu kepada rakyat Malaysia.

Dengan pemilikan sepenuhnya hak harta intelek platform AMA, Proton optimis Malaysia mampu muncul sebagai hab kejuruteraan serantau dalam ekosistem Geely untuk pembangunan model masa depan.
Oleh Shikin Mahmud