
PETRA JAYA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini menasihati pemimpin komuniti luar bandar agar memastikan pelajar di kawasan pedalaman bersedia dan berusaha lebih gigih untuk merebut peluang pendidikan tinggi.
Beliau berkata peluang itu boleh dicapai menerusi inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang disediakan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat 17 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari DUN Mulu, yang diketuai Pemanca Randie Bundan, bersama lima pegawai Pejabat Daerah Marudi yang diketuai Pegawai Daerah Rose Tarang, di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Uggah turut menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah pelajar luar bandar yang mampu memenuhi syarat kemasukan ke universiti, termasuk kursus terpilih di universiti milik kerajaan negeri.
“Jangan jadi pemerhati kepada inisiatif pendidikan percuma ini. Belajar bersungguh-sungguh supaya anda dapat tempat di universiti,” tegas beliau.
Beliau menekankan bahawa pelajar luar bandar perlu meningkatkan kesiapsiagaan akademik sejak awal agar layak memasuki bidang pengajian yang ditawarkan, sekali gus memastikan manfaat FTES benar-benar dinikmati oleh rakyat di kawasan pedalaman.
Menurut Uggah, Sarawak memerlukan tenaga kerja mahir dan berkualiti untuk mencapai sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Oleh Adi Safarman