



KUALA LUMPUR: Kesemua 36 pelajar bersama dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas susulan banjir di Hat Yai, Thailand, berjaya diselamatkan hari ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kesemua mereka akan dibawa ke penempatan sementara sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM atas koordinasi yang amat berkesan dalam memastikan operasi menyelamat ini dapat dijayakan dengan selamat dan teratur.
“Semoga urusan seterusnya dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.
Kesemua pelajar dan pensyarah terlibat adalah daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang terkandas sejak 22 November lepas, ketika menyertai Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berkata lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam, Kedah susulan banjir melanda selatan Thailand, termasuk mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), menurut laporan Konsulat Jeneral Malaysia di negara itu semalam.
Beliau berkata operasi pemindahan itu dapat digerakkan berikutan penurunan paras air selepas hujan lebat reda pada petang semalam, sekali gus membolehkan pasukan Malaysia dan Thailand mengakses lebih banyak lokasi yang sebelum ini terputus hubungan.- Bernama