
SARIKEI: Kursus pembuatan beg tangan kecil dan beg kulit yang berlangsung selama tiga hari di Pakan dan Julau membuka peluang baharu kepada wanita tempatan untuk mengembangkan kemahiran serta menjana pendapatan melalui penghasilan produk kraftangan.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata kursus tersebut dijalankan selama dua hari di Pakan dan sehari di Julau bertempat di Pusat Khidmat Parlimen Julau memberi ruang kepada wanita untuk mempelajari kemahiran menghasilkan produk kraftangan yang berpotensi dipasarkan.
“Kursus tiga hari tersebut telah melatih para peserta membuat beg yang mampu memberi insentif tambahan khususnya dalam menjana ekonomi keluarga sekiranya ia diperluaskan lagi sebagai sumber pendapatan.


TERIMA KASIH…Peserta menerima sijil penyertaan kursus daripada Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien. Foto Foto Facebook Datuk Larry Sng Wei Shien
“Tujuan utama kursus ini adalah untuk memperkukuhkan ekonomi isi rumah penduduk rumah panjang, terutamanya wanita,” katanya.
Larry yang juga Pengerusi Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata demikian dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook rasminya, baru-baru ini.
Katanya, pada masa kini, golongan wanita memainkan peranan besar dalam membantu keluarga, kerana mereka menjaga atau menjadi tulang belakang kepada ekonomi rumah tangga.
“Selain menjaga anak, apabila mempunyai masa luang, dengan kemahiran membuat beg, mereka kini berpeluang menambah pendapatan melalui penjualan produk kraftangan yang dihasilkan.
“Selain itu, kursus ini dianjurkan secara khusus dan saya turut membawa tenaga pengajar bagi memberikan tunjuk ajar serta melatih para peserta menghasilkan beg berkualiti yang boleh dipasarkan,” katanya.


TERIMA KASIH…Peserta menerima sijil penyertaan kursus daripada Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien. Foto Foto Facebook Datuk Larry Sng Wei Shien
Tambahnya, ini merupakan penganjuran kali kedua dan program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang agar golongan wanita mempunyai kaedah untuk memperkukuhkan produk kraftangan mereka.
“Ini merupakan program kedua dan tahun hadapan program ini akan diadakan semula supaya wanita mempunyai cara untuk mempromosikan produk kraftangan.
“Saya berharap kursus ini dapat membantu mereka menambah baik hasil kerja tangan dan seterusnya dipasarkan dalam industri kraf, termasuk dijual di perayaan seperti Pesta Pakan, Pesta Lada dan pelbagai perayaan lain,” ujarnya.
Oleh Earl Anek