
KUALA LUMPUR: Dunia hiburan tanah air dikejutkan lagi dengan pemergian seorang bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Amirul Azwan Mohd Ghazali, 37, yang meninggal dunia hari ini dipercayai akibat serangan jantung.
Berita sedih itu disahkan oleh rakan seperjuangan Allahyarham, Dr Syamsul Hirdy Muhid, atau lebih dikenali sebagai Diddy Hirdy.
Menurutnya, beliau menerima perkhabaran mengenai pemergian Amirul daripada sepupu kepada isteri Allahyarham pada pagi tadi.
Diddy Hirdy berkata bahawa beliau dan Allahyarham sudah lama tidak berhubung, tetapi dimaklumkan mengenai pemergian Amirul oleh salah seorang kakitangannya yang juga sepupu kepada isteri Allahyarham.
Beliau menambah bahawa Allahyarham kini berada di sebuah hospital di Kuching, Sarawak, dan memaklumkan bahawa arwah tidak mempunyai sejarah penyakit, justeru proses bedah siasat dijadualkan pada 2.00 petang.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil dalam trimester ketiga.
Pasangan itu dikatakan mendirikan rumah tangga pada 2023, menjadikan pemergian Amirul lebih memilukan bagi keluarga dan rakan-rakan.
Amirul Azwan berketurunan Melanau dan Cina ini merupakan salah seorang pelajar Akademi Fantasia musim keempat.
Beliau adalah salah seorang daripada dua belas calon pelajar yang terpilih (daripada dua orang yang diterima melalui undian penonton) untuk memasuki Akademi Fantasia setelah bersaing dalam konsert prelude bagi kelayakan tersebut.
Amirul telah tersingkir pada Konsert ke-8. Seterusnya, Amirul diserap masuk bersama tujuh peserta yang lain tetapi beliau tidak berjaya untuk masuk ke peringkat akhir bersama empat finalis yang lain dengan hanya menduduki tempat ketiga untuk AF MASUK.