
LIMBANG: Pusat Tingkatan Enam Limbang adalah prasarana pendidikan terbaik bertaraf prauniversiti kepada para pelajar di Daerah Limbang yang dijangka mula beroperasi pada 2027.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata ia adalah usaha kerajaan untuk memperkasa pendidikan bertaraf prauniversiti di Daerah Limbang.
Pusat Tingkatan Enam ini merupakan pusat yang kedua di Sarawak dan menempatkan seluruh pelajar khusus dari utara Sarawak.
“Projek ini sedang dalam pembinaan di blok bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang dan mendapat peruntukan khas daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjumlah RM5 juta,”katanya pada perasmian Majlis Kasual Bergaya: Malam Trilogi Aurora Tingkatan 6 di SMK Kubong Limbang malam tadi.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Limbang (PPD), Mat Zinan Wahit dan Pengetua SMK Kubong Dolphina Balang.
Seterusnya, Dr Abdul Rahman berkata Pusat Tingkatan Enam atau sinonim dengan prauniversiti berfokuskan kepada peningkatan taraf pendidikan ke arah yang lebih tinggi dan seiring dengan program prauniversiti yang lain.
Kemudahan ini penting dalam melahirkan pelajar dengan nilai keboleh pasaran tinggi dan berdaya saing.
Beliau menzahirkan ucapan penghargaan kepada para guru atas komitmen sebagai pendidik sehingga mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Kubong.
Jelasnya, SMK Kubong merupakan antara penyumbang pencapaian cemerlang bidang akademik sehingga dinobat sebagai sekolah terbaik di bahagian Limbang.
Oleh Adeng Edrus