
LINGGA: Seorang pemandu cedera dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan lori tiga tan dan kereta Perodua Kancil di Jalan Tanjung Bijat, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 4.49 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Fadhli Buyong bergegas ke lokasi.
Setibanya di tempat kejadian, didapati pemandu Perodua Kancil mengalami kecederaan di kepala dan kaki tetapi tidak tersepit, manakala pemandu lori selamat tanpa sebarang kecederaan.

Mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan penyelamat dan ‘stretcher’ sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi dikendalikan oleh sembilan anggota bomba dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Turut hadir di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota KKM bersama sebuah ambulans.
JBPM Sarawak menegaskan bahawa keselamatan mangsa menjadi keutamaan dan operasi ditamatkan setelah keadaan selamat sepenuhnya.
Oleh Adi Safarman