
SARIKEI: Lebih RM12 juta projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan atau dirancang di kawasan Sare Utara dan Sare Tengah sejak 2020.
Perkembangan ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk luar bandar.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, berkata projek tersebut termasuk projek naik taraf jalan, pembinaan infrastruktur asas, baik pulih rumah, kemudahan sekolah dan tadika, serta perkarangan dan prasarana rumah panjang.
“Ia dilaksanakan menerusi peruntukan Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS), Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Mesra Rakyat (PMR), Program Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program pemimpin bersama rakyat yang diadakan di Dewan Adin Sare, semalam.
Dalam pada itu, katanya, program tersebut adalah platform yang sangat sesuai untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.



CABUTAN TIKET BERTUAH….Dato Ir. Yusuf Abd Wahab menyerahkan hadiah kepada pemenang cabutan tiket bertuah. Foto Pusat Khidmat Tanjong Manis
“Syukur Alhamdulillah, kita dapat berhimpun dalam suasana penuh perpaduan dan kemeriahan hari ini.
“Ia membuka ruang kepada saya untuk berkongsi maklumat berkaitan inisiatif kerajaan, peruntukan semasa dan peluang bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk luar bandar,” katanya.
Yusuf turut menyentuh berkenaan pembangunan sosial termasuk bantuan Sumbangan Khairat Asas Sarawak (SKAS), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), insentif graduan, serta pelbagai inisiatif kerajaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Program tersebut juga diserikan dengan pelbagai pengisian berbentuk kekeluargaan dan komuniti.
Turut hadir Penghulu Bidai Ginsang, Ketua Ranting Sare Utara, Tuai Rumah (Tr) Johnie Beribon, Ketua Ranting Sare Tengah Tr Trieh Sigat dan Konselar Daniel Jelaing.
Oleh Earl Anek