SIBU: Bekas Guru Besar dan Guru Cemerlang Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman Saratok masing-masing dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Guru dan Tokoh Guru bagi peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok 2020.
Tokoh Kepimpinan Guru PPD Saratok, Razenah Raimah dan Tokoh Guru PPD Saratok, Ong Amat Ana telah menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz pada Sambutan Hari Guru dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Daerah Saratok 2020 bertempat di salah sebuah hotel termuka dekat sini semalam.
Selain itu, Anugerah ‘Our Hero’ turut dianugerahkan kepada guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok, Abdul Hadi Meredan.
Razenah, 61, yang menjadi pendidik selama 39 tahun 11 bulan itu berkata, beliau amat berbesar hati dan berterima kasih dengan anugerah yang terimanya.
Bekas Guru Besar SK Abang Abdul Rahman Saratok dan SK Datuk Bandar Debak itu berkata, anugerah tersebut adalah disifatkan antara anugerah yang paling manis dan bermakna buat dirinya biarpun telah hampir setahun bersara sebagai guru.
Razenah menyifatkan kerjaya sebagai guru sebagai ibadah untuk memotivasikan dirinya melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan cemerlang.
Beliau turut menambah dengan menekankan kepentingan warga pendidik untuk berfikiran kreatif dan invotif dalam menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran.
“Warga pendidik perlu bersabar mendidik anak-anak murid, sebagai ibu bapa kedua mereka di sekolah kerana apa yang kita semai, itulah yang akan kita tuai,” ujarnya.
Razenah turut berpesan kepada guru-guru supaya menerapkan elemen kolaborasi dan komunikasi yang baik bagi membolehkan pelajar dapat memberikan pandangan mereka secara terbuka.
“Sesuai dengan tema tahun ini, ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’, jadi guru perlu seiring dengan perubahan generasi baharu dengan memahami dan mahir dengan mata pelajaran yang diajarkan serta menyayangi anak murid dan mempunyai kemahiran kaunseling untuk mendekati mereka,” katanya.
Bagi bekas Guru Cemerlang Matematik SK Abang Abdul Rahman Saratok, Ong Amat Ana, 60, bersyukur atas anugerah yang diterimanya, dan beliau melihat tugas kepimpinan sektor pendidikan pada abad ke-21 makin mencabar kerana perlu menyediakan satu persekitaran yang kondusif di peringkat sekolah bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.
“Dalam keadaan sekarang pembelajaran maya adalah sangat penting maka guru-guru perlu dilengkapkan dengan kemahiran penggunaan perkakasan teknologi terkini. Sebab itu kepimpinan pendidikan adalah untuk memastikan guru-guru sentiasa diberikan pendedahan kepada metadologi yang terkini,” tegasnya.
Sementara itu, Abdul Wahab mengucapkan tahniah kepada kedua-dua bekas guru terbabit yang telah terpilih sebagai Tokoh Kepimpinan Guru dan Tokoh Guru bagi peringkat PPD Saratok 2020.
“Anugerah ini merupakan penghargaan kepada warga pendidik yang telah mencurahkan khidmat bakti dan jasa yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab berharap anugerah itu akan menjadi pembakar semangat kepada semua warga pendidik untuk terus bekerja keras dan memberikan sumbangan terbaik dalam melonjakkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.
Oleh Adi Safarman