
SIBU: Dua lelaki ditahan berhubung kes kecurian wayar kabel dan dua unit pam air di kawasan sebuah hotel, dengan anggaran kerugian berjumlah RM60,000.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan kejadian itu pada Jumaat lalu sekitar 8.45 pagi.
“Pada hari yang sama, sekitar 9.30 pagi, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Sibu telah berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 44 tahun.
“Kedua-duanya masing-masing mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah serta kes kesalahan dadah,” katanya menerusi kenyataan media.
Beliau berkata, hasil tangkapan berjaya membawa kepada rampasan dua guni berisi tembaga yang telah dileraikan daripada wayar kabel yang dicuri.

“Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam hingga 26 November bagi membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Zulkipli turut menasihatkan orang awam supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing bagi membantu mencegah jenayah di daerah ini.