BALINGIAN: Wakil rakyat tempatan menerima dengan tangan terbuka rancangan parti baharu tertentu untuk meletakkan calon mereka di kawasannya pada pilihan raya negeri akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata ia adalah hak warga dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
“Kita pun terbaca dan mendengar kebelakangan ini beberapa parti politik baharu telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan meletakkan calon di Balingian yang sebahagiannya adalah bekas ahli Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pihaknya bersikap terbuka dan “gentleman” menerima perancangan itu asalkan ia dijalankan secara baik dan berhemah serta tiada unsur negatif yang boleh merosakkan keharmonian di kawasan tersebut..
Bagi beliau sendiri pula, seandainya diberi peluang untuk kekal menjadi calon mewakili PBB – GPS di dalam pilihan raya negeri (PRN) 12, matlamat beliau adalah untuk melihat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingan membangun dan berkembang.
“Semoga daerah kecil Balingian boleh dinaiktaraf menjadi sebuah daerah penuh dalam tempoh yang tidak begitu lama lagi. Oleh yang demikian, bantulah dan sokonglah saya dan kerajaan sekarang demi kelangsungan kemajuan berterusan di DUN kita dan saya percaya rakyat dan pengundi kawasan dapat menilai secara waras mana wakil dan parti yang lebih baik dan bertanggungjawab membantu rakyat,” ujarnya lagi.
Oleh yang demikian, beliau menyeru rakyat agar menyokong dan berdiri teguh di bawah kepimpinan yang ada sekarang kerana amat jelas mereka berjuang untuk semua kaum secara adil dan bijaksana dan terus mengukuhkan keharmonian di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) yang diadakan di Dewan Masyarakat MDDM Balingian, semalam.
GPS, tambah Yakub bukanlah sebuah gabungan yang lemah atau menidakkan kesejahteraan mana-mana kaum, tetapi sebuah gabungan yang semakin kuat, sentiasa menghormati dan bekerjasama sesama parti komponen.
Menyentuh mengenai AgriCOP, katanya, penganjurannya adalah amat bertepatan memandangkan negara kita kini lebih fokus kepada aktiviti pertanian untuk dapat menghasilkan tanaman yang mampu menjana pendapatan tambahan selain mengurangkan import sayur-sayuran dari luar negara.
“Pertanian atau aktiviti penanaman di Sarawak khususnya dilihat sebagai satu bentuk bidang yang mampu berkembang dengan pesat memandangkan ia semakin kerap diusahakan. Ini kerana Sarawak merupakan salah satu negeri yang mempunyai tanah yang luas, subur dan sangat sesuai untuk pertanian,” katanya lagi.
Turut hadir Pegawai Pertanian Menguasa Daerah Mukah, Benedict Thomas Bumbung Mussin dan Pegawai Pendtabir Daerah Kecil Balingian, Penny Narawi.
Pada majlis tersebut Yakub juga menyampaikan Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) dan Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN).