

SPAOH: Tindakan pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang 14 kaki yang ditemui di hadapan sebuah rumah penduduk di Kampung Hulu Spaoh malam ini.
Menurut kenyataan APM Spaoh, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk yang dikenali sebagai Firdaus Lihie, pada 8.05 malam setelah beliau terkejut melihat kelibat reptilia berwarna gelap itu berada di atas jalan menuju ke rumahnya.
Beliau segera menghubungi APM bagi memastikan keselamatan dirinya dan keluarga. Sebaik menerima laporan, empat anggota APM Spaoh dikerahkan ke lokasi dan tiba hanya dua minit kemudian.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan berkenaan mengesahkan kehadiran ular sawa batik bersaiz besar yang dipercayai sedang berada di hadapan rumah pengadu.
APM Spaoh memaklumkan bahawa operasi menangkap ular tersebut dijalankan dengan penuh berhati-hati menggunakan teknik menjerut dan menyepit bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap anggota dan penduduk. Reptilia itu akhirnya berjaya ditangkap pada 8.20 malam.
Operasi yang berjalan lancar itu turut mengambil kira keselamatan penduduk sekitar memandangkan kawasan kampung sering menjadi laluan haiwan liar, terutama ketika musim hujan.
APM menasihatkan penduduk agar segera melaporkan sebarang kemunculan haiwan berbahaya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
APM Spaoh mengulangi komitmen mereka untuk terus memastikan keselamatan masyarakat setempat melalui respons pantas terhadap setiap panggilan kecemasan.
Oleh Adi Safarman