


SARATOK: Pemasangan lampu berkuasa solar di kawasan berisiko di seluruh kampung dan rumah panjang bakal dipergiat selepas kontraktor rasmi dilantik menerusi dana Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bernilai RM1.8 juta serta dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM400,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terus terjamin.
Beliau berkata, beberapa lokasi utama di Pekan Saratok telahpun menikmati kemudahan lampu solar yang siap dipasang bagi menerangi laluan tumpuan orang awam serta kawasan gelap yang sebelum ini membimbangkan penduduk.
Menurutnya, sebanyak 38 unit lampu solar telah dipasang di sekitar Taman Awam Saratok melibatkan 16 unit, manakala Padang Bola Sepak Majlis Daerah Saratok (MDS) menerima 13 unit sebagai langkah meningkatkan keselamatan pada waktu malam.
Selain itu, lima unit lampu solar turut dipasang di simpang berdekatan Pejabat Pos Saratok, dua unit di tepi jalan menuju Masjid Al Muhtadin berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman, serta masing-masing satu unit di Taman Permainan bersebelahan Arena Petanque dan simpang masuk Kuartes Kerajaan.
“Pemasangan di peringkat kampung dan rumah panjang akan dimulakan tahun ini secara berfasa selepas pelantikan kontraktor.
“Fokus kita ialah memastikan kawasan berisiko diterangi secukupnya bagi mengurangkan ancaman keselamatan,” katanya.
Beliau menegaskan usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur asas termasuk pencahayaan kawasan awam adalah agenda berterusan yang diberi keutamaan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
“Komitmen ini akan diteruskan agar semua penduduk menikmati kemudahan berkualiti, selamat dan berkesan seiring pembangunan pesat Saratok,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman