
DALAT: Usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui penggunaan tenaga hijau terus dipertingkat apabila Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melaksanakan majlis penyerahan rasmi pemasangan tenaga solar di Rumah Abus Junau, Nanga Jelai Batang Oya, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, bersama wakil daerah serta penduduk rumah panjang. SEDC diwakili oleh Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Nur Khairanie Nasya Jasni, yang turut menyampaikan ucapan bagi pihak organisasi.
Bertemakan ‘Menerangi Komuniti, Memperkasa Masa Depan’, inisiatif pemasangan solar tersebut merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan SEDC yang menekankan kelestarian dan impak sosial jangka panjang.

Projek berkenaan merangkumi pemasangan 18 lampu solar di ruai rumah panjang serta 15 lampu jalan solar di kawasan sekitarnya, sekali gus meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kualiti hidup penduduk. Ia turut menandakan projek CSR pertama SEDC tahun ini yang memberi fokus khusus kepada tenaga hijau.
Dalam ucapannya, Nur Khairanie menegaskan komitmen SEDC dalam menyokong aspirasi kelestarian negeri, di samping menekankan bahawa SEDC sentiasa berusaha melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.
Beliau menambah bahawa penggunaan teknologi hijau bukan sahaja memperluas akses kepada tenaga boleh diperbaharui, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan bertanggungjawab.

SEDC terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan yang bukan sahaja memacu ekonomi, tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan masyarakat dan penjagaan alam sekitar.
Melalui program CSR seperti ini, SEDC memperkukuh komitmennya dalam memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui, memperkasakan prasarana asas komuniti, meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar serta melaksanakan program yang membawa impak positif kepada masyarakat.
SEDC menegaskan komitmen untuk meneruskan program-program yang menyokong kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti secara berterusan demi kemajuan Sarawak.