SHEILA ZAIDI
KUCHING: Sumbangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) tiba di pelabuhan Senari Isnin lalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kesemua PPE ini dijangka diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini (Rabu).
“PPE dan barangan perubatan bernilai RM2 juta ini telah ditempah pada pertengahan Mac lepas dan tiba dari China di sini Isnin lalu.
“Seperti yang telah kita beritahu sebelum ini, barangan ini akan diserahkan kepada JPBNS untuk disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk kegunaan petugas barisan hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menerima barangan tersebut di Pelabuhan Senari semalam.
Menurut Tengah, PPE ini merupakan sumbangan daripada PUSAKA dan STA dan akan diserahkan kepada hospital awam menerusi JPBNS.
Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, antara peralatan perubatan yang disumbangkan terdiri daripada pakaian pelindung perubatan disteril (5,000 keping), gaun isolasi tidak disteril (10,000 keping), sarung tangan pemeriksaan vinil perubatan (200 kotak), penutup kasut perubatan (10,000 pasang), kaca mata perubatan (5,000 keping), pelindung muka (5,000 keping), penutup mulut dan hidung respirator KN 95 (10,000 keping), penutup mulut dan hidung perubatan pakai buang (105,000 keping) dan tudung kepala perubatan (10,000 keping).
Katanya, barangan ini dihantar menerusi kargo kapal secara terus dari China ke Kuching yang dimuatkan dalam dua kontena bersaiz 40 kaki.
Beliau memberitahu, barangan ini pada awalnya dicadangkan dihantar melalui penerbangan sewaan khas kargo dari China ke Kuching.
Namun demikian, kita perlu menunggu untuk satu tempoh yang agak lama bagi mendapatkan kelulusan permit penerbangan berkenaan daripada pihak berkuasa penerbangan China serta prosedur pelepasan ketat oleh pihak berkuasa tempatan di sana, beritahu Tengah.
Justeru, Kerajaan Sarawak memutuskan supaya tempahan bantuan ini dihantar menggunakan kargo kapal laut dan bersyukur barangan ini telah tiba Isnin lalu.
Hadir sama semasa penerimaan barangan perubatan tersebut semalam ialah Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Perancangan Bandar, dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) Datuk Awang Bemee Ali Basah.
Turut hadir, Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet, ahli Majlis Tetap STA Dato Henry Lau serta Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, Ketua Pegawai Eksekutif STA Annie Ting dan Timbalan Pengurus Besar PUSAKA, Dayang Nena Abang Bruce.