
LIMBANG: Program OKU Got Talent Peringkat Bahagian Limbang platform tepat dalam menyerlahkan bakat, kelebihan serta memperkasakan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) sejajar aspirasi negara mewujudkan masyarakat yang inklusif.
Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise @ Rosita Kulai berkata penganjuran OKU Got Talent bukan sekadar sebuah pertandingan tapi merupakan satu platform utama yang menyediakan ruang dan peluang kepada murid-murid golongan OKU untuk memperaga, menonjol dan membuktikan bakat serta kebolehan mereka.
Beliau menekankan bahawa kekurangan fizikal atau mental bukan penghalang bagi semangat, keazaman dan potensi istimewa setiap individu OKU.
“Setiap golongan OKU mempunyai keistimewaan, potensi serta kualiti unik yang kadangkala melebihi orang lain. Program ini mencerminkan pemerkasaan komuniti OKU dan menyokong aspirasi negara untuk wujud masyarakat inklusif,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Program OKU Got Talent Bahagian Limbang 2025, hari ini.
Menurut beliau, program seumpama ini mampu meningkatkan keyakinan diri peserta OKU kerana mereka dihargai dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada masyarakat.
“Saya menggesa agar seluruh anggota masyarakat, termasuk ibu bapa, penjaga, badan bukan kerajaan (NGO), dan sektor swasta, terus memberikan sokongan yang padu dan infrastruktur yang sesuai untuk memastikan bakat-bakat istimewa ini dapat terus diasah dan dikembangkan,” ujarnya.
Turut hadir, wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang Norlia Othman, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Mahani Montel, Timbalan Pengerusi Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak Bahagian Limbang (MAKSAK Wanita) Dayang Diyana Abang Ibrahim dan Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Limbang Lorah Balang.
Oleh Adeng Edrus