Ular sawa 16 kaki ditangkap APM Saratok di perumahan Jalan Malong

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Saratok berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 16 kaki di hadapan parit rumah di perumahan Jalan Malong, pagi tadi. Foto APM Saratok

SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok berjaya menangkap ular sawa batik sepanjang kira-kira 16 kaki selepas menerima satu panggilan kecemasan awal pagi tadi.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai keberadaan reptilia itu pada 6.18 pagi di hadapan parit rumah di perumahan Jalan Malong.

“Skuad Alpha APM Saratok digerakkan ke lokasi dan tiba pada 6.30 pagi. Hasil pencarian, pasukan berjaya mengesan dan menangkap ular tersebut menggunakan teknik menjerut dan penyepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ANGGOTA APM Saratok berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 16 kaki di hadapan parit  rumah di perumahan Jalan Malong, pagi tadi. Foto APM Saratok

Beliau berkata operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan kawasan terlibat turut dipastikan selamat sebelum pasukan beredar.

Ular sawa tersebut kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Saratok untuk tindakan lanjut.

APM Saratok turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama segera melaporkan kejadian serta menasihatkan penduduk agar lebih berwaspada, khususnya pada musim hujan yang meningkatkan pergerakan hidupan liar.

Oleh Adi Safarman