
KUCHING: Mesyuarat persediaan bagi penyelarasan dan perbincangan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berlangsung hari ini dengan fokus utama pada perancangan Projek Symposium Batang Lupar.
Mesyuarat dipengerusikan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris dan disertai pegawai kanan daripada pelbagai agensi terlibat.
Perbincangan menekankan perancangan awal projek serta beberapa inisiatif pembangunan lain di kawasan Bandar Sri Aman.

Koordinasi pelaksanaan dan kandungan perbentangan yang akan dibawa semasa kunjungan hormat turut menjadi fokus utama mesyuarat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor hadir bagi memastikan projek pembangunan di kawasan tersebut dapat dijayakan dengan baik.
JKR Sarawak menegaskan komitmen memberikan sokongan teknikal penuh untuk memastikan setiap projek dilaksanakan lancar dan memberi impak positif kepada rakyat.
Dayang Noorazah menyatakan penghargaan terhadap komitmen JKR Sarawak dan agensi lain yang menyokong pembangunan demi kesejahteraan rakyat Batang Lupar dan Sri Aman.
“Insya-Allah, setiap perancangan yang dirangka akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya.
Oleh Adi Safarman