SRI AMAN: Tindakan Kerajaan Persekutuan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika era Barisan Nasional (BN) pada 2011 dahulu memberi nafas kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ini kerana tindakan berkenaan memberi laluan kepada Ketua Menteri Ke-5 ketika itu, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem untuk bertindak merungkai hak dan kepentingan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Setelah beliau (Adenan) meninggal dunia, Kerajaan GPS pimpinan Ketua Menteri Ke-6 Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meneruskan perjuangan Sarawak dalam menuntut hak dan kepentingan negeri ini dalam perjanjian berkenaan.
“Akhirnya, perjuangan berkenaan menampakkan perkembangan sangat positif apabila beberapa tuntutan kita berjaya dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini,” kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis ketika merasmikan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman di Rumah Thomas Lawan, Sengkuang Ulu di sini, Isnin lalu.
Selain itu, Harden turut menggesa penduduk agar tidak mengadai masa depan hidup anak cucu mereka dengan bertindak menukar Kerajaan Sarawak sedia ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 nanti.
Ujarnya, tiada sebab untuk penduduk mahu bertindak demikian memandangkan GPS berjaya menuntut sebahagian hak dan kepentingan negeri dalam MA63 seperti yang diperjuang oleh arwah Pehin Sri Adenan Satem dahulu.
“Lagi pun Kerajaan Sarawak pimpinan GPS sebelum ini telah melaksana banyak projek mega yang menelan kos ratusan hingga bilion ringgit bagi memacu proses pembangunan negeri kita ke tahap lebih tinggi.
“Tambahan lagi, Sarawak kini sedang mengejar status negeri maju pada 2030 dan ia boleh dicapai selagi penduduk kita terus kekal setia menyokong GPS bagi tujuan itu,” kata beliau.
Terdahulu, seramai 86 peserta dari lapan rumah panjang di sini menyertai program ini yang bertujuan untuk memberi pendedahan terhadap kelebihan projek tanaman dan ternakan dalam kalangan mereka.
Antara pengisian program itu adalah Taklimat Teknologi Tanaman Nenas yang disampaikan oleh Jabu Saging, Taklimat Teknologi Tanaman Rambutan Anak Sekolah oleh William Martin, Taklimat Teknologi Tanaman Padi oleh Chadum Lawan.
Dua lagi taklimat turut disampaikan pada program berkenaan iaitu Ternakan Khinzir/Ayam/Itik oleh Glenice Bulan dan Ternakan Ikan Dalam Tangki oleh Patrick Layong Ulai.
Harden pada program itu mengumum peruntukan RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Sengkung Ulu dan RM3,000 untuk biro wanitanya dengan 47 Kenyalang Gold Card disampai kepada penerima dari lapan buah rumah panjang berkenaan.
Turut hadir Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman, Freddy Paul Giang Enggie, Pegawai Pertanian Daerah Sri Aman, Jabu Saging, Pegawai Veteriner Daerah Sri Aman, Glenice Bulan, Timbalan Walikota MDSA Kaunselor Andar Suntai dan Pemanca Jegai Jawa.