KUCHING: Bagi menzahirkan komitmen Kementerian Pemodenan, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) telah mengadakan Hari Integriti dalam membentuk dan membudayakan warga kerja agar berintegriti dan mempunyai kemampanan peribadi yang beretika tinggi.
Ini merupakan sambutan kali kedua bagi warga MANRED. Tema yang dipilih pada tahun ini adalah “Integriti Teras Kejayaan Kita”, seramai 150 warga kerja yang turut terlibat.
Setiausaha Tetap, Kementerian Pemodenan, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), Edwin Abit berkata, objektif utama hari integriti ini diadakan adalah untuk mengukuhkan kesedaran para warga kerja tentang integriti khususnya kepada warga kerja yang lebih terbuka kepada elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.
“Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran supaya sedar betapa pentingnya amalan integriti dan bahayanya amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Kita ingin mengukuhkan integriti selaras dengan hasrat kerajaan untuk menitikberatkan isu integriti di kalangan penjawat awam, ini adalah satu inisiatif kementerian untuk menyahut seruan kerajaan,”katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), Datuk Douglas Uggah Embas, Menteri Muda (MANRED) Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Muda (MANRED), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Sarawak, Mohd Zaki Hassan.
Edwin turut berkata, terdapat beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk menyemarakkan lagi semangat seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan nilai integriti dan kemantapan peribadi yang tinggi agar agenda transformasi negara dapat dicapai.
“Inisiatif – inisiatif yang telah dilaksanakan adalah dengan menubuhkan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) iaitu sistem pematuhan rasuah yang bertujuan bagi menangani isu-isu rasuah, seterusnya adalah dengan melantik dua pegawai integriti yang diperakui (CIO).”
“Saya berharap tahap integriti yang tinggi perlu ditanam dalam diri setiap warga kerja untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan cemerlang kepada orang awam.” ujarnya.
Dalam majlis tersebut juga turut menyaksikan Edwin Abit, Joseph Blandoi, Siang Mandaw, Gom Raway menandatangani Watikah Ikrar Rasuah yang disaksikan oleh Pengarah SPRM Cawangan Sarawak , Mohd Zaki Hassan di Kuching, semalam.
Oleh Jeakqleyn Yacho