BINTANGOR: Tahniah buat warga pendidik SMK Bandar Bintangor kerana tidak putus-putus membuahkan pelbagai idea yang berimpak tinggi untuk memantapkan sekolah ini walaupun dalam keadaan norma baharu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, dalam keadaan pandemik Covid-19, pelbagai usaha untuk memantapkan disiplin pelajar tidak boleh dipandang remeh.
“Saya percaya, pihak sekolah turut berusaha untuk mendidik para pelajar memahami dan membudayakan norma baharu.
“Dengan gagasan idea seperti Tahun Cakna Disiplin ini, kita dapat menangani masalah disiplin di kalangan pelajar secara lebih efisien dengan menekankan norma baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Pelancaran Tahun Cakna Disiplin Volume III dan Penyampaian Watikah Lantikan Pengawas 2020/2021 anjuran Lembaga Pengurusan Sahsiah Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor, kelmarin.
Ujarnya, semua pihak perlu bertindak untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan murid sekolah.
“Dalam konteks ini kita menyokong inisiatif pihak kementerian yang dilaporkan telah pun menubuhkan jawatankuasa bertindak khusus untuk sekolah bermasalah seperti ini dan pelbagai program akan diadakan sebagai langkah pencegahan.
“Jadi dalam hal ini perlu dipastikan jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh semua pihak berkepentingan yang boleh sama-sama membantu menyelesaikan masalah ini dari peringkat akar umbi lagi.
“Langkah ini penting dan amat signifikan bagi menangani punca yang menyumbang kepada salah laku murid,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Ismail Abang Mahamud, Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Sekam Anoi, YDP PIBG SMK Bandar Bintangor, Heiremi Jamuie dan Pengetua SMK Bandar Bintangor, Yakub Jai.
Oleh Earl Anek