
SIBU: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bagi meninjau kesiapsiagaan pasukan serta operasi keselamatan di daerah ini.
Ketibaan beliau pada 10.00 pagi disambut Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, diikuti pemeriksaan Kawalan Kehormatan melibatkan pegawai kanan dan anggota IPD Sibu.

Selepas itu, Mohamad Zainal menandatangani buku lawatan rasmi sebagai simbolik kehadiran sebelum disambut dengan persembahan tarian selamat datang oleh ahli Kelab Kebudayaan IPD Sibu.
Lawatan berkenaan turut diisi dengan sesi Taklimat Keselamatan yang dibentangkan ACP Zulkipli, yang merangkumi perkembangan keselamatan semasa, statistik jenayah terkini, pengurusan operasi serta pencapaian IPD Sibu dalam memastikan ketenteraman awam.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap komuniti, Mohamad Zainal turut menyampaikan sumbangan kasih berupa barangan keperluan makanan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), fakir miskin, pesara serta waris anggota polis.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supt Boniface Bajai serta ketua bahagian, pegawai kanan, anggota dan kakitangan awam IPD Sibu.
Oleh Tarani Lanting