
MIRI: Komitmen Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam menyokong pendidikan anak-anak luar bandar terus dizahirkan melalui penganjuran Program Kembali ke Sekolah dan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Fiesta 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan.
Program itu dirasmikan hari ini oleh Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menyifatkan program itu sebagai satu contoh kerjasama korporat yang berkesan dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman Mulu.

Menurut beliau, seramai 92 pelajar menerima bantuan kelengkapan persekolahan bagi sesi 2025, sekali gus memberi semangat baharu kepada murid-murid untuk melangkah ke tahun persekolahan yang akan datang.
“Bantuan ini bukan sahaja memastikan pelajar lebih bersedia, tetapi turut memupuk keyakinan mereka untuk terus berjaya.
“Usaha seperti ini menunjukkan kepedulian pihak korporat terhadap pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar,” katanya dalam hantarannya di Facebook.
Tower”.
Majlis turut diserikan dengan pelancaran STEM Fiesta SK Batu Bungan, yang menghimpunkan sembilan pameran STEM dan empat pertandingan keluarga yang merangkumi Roket Air, Kereta Belon, Cabaran Titanic dan Menara Spageti.
Datuk Gerawat menegaskan, kerjasama antara Petronas, SEB, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak membuktikan bahawa pendekatan pelbagai sektor mampu memperkukuh pembangunan modal insan di kawasan terpencil.
“Pendidikan adalah asas kemajuan. Melalui sokongan pelbagai pihak, kita dapat membantu pelajar bukan sahaja dari segi persediaan fizikal, tetapi juga memupuk minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi,” jelasnya.
Beliau turut berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan masyarakat Mulu terus menikmati manfaat pembangunan secara inklusif.
Oleh Liong Chai Ling