
SPAOH: Program Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) 2.0 memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat sebagai barisan responden pertama ketika kecemasan atau bencana.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, penglibatan komuniti dalam program sebegini memastikan masyarakat mampu bertindak pantas, cekap dan teratur, sekali gus membantu mengurangkan risiko serta kesan bencana sebelum ketibaan pasukan profesional.
“CERT bukan untuk menggantikan peranan agensi kerajaan, tetapi merupakan pasukan sukarela komuniti yang berkeupayaan bertindak segera.
“Setiap ahli dilatih untuk membantu diri sendiri, keluarga dan jiran. Dengan cara ini, komuniti akan lebih bersedia ketika kecemasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Latihan dan Pelancaran CERT 2.0 di Dewan Masyarakat Spaoh, semalam.

Majlis tersebut turut diserikan dengan Penyampaian Sijil, Penyerahan Kit Tindak Balas Kecemasan, sesi bergambar serta High Tea, melibatkan penyertaan aktif komuniti setempat.
Dr Richard turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, termasuk para peserta, penganjur dan sukarelawan tempatan.
Beliau menegaskan bahawa usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kecemasan di peringkat komuniti adalah langkah penting dalam membina sebuah masyarakat yang lebih bersedia, berdaya tahan dan selamat, khususnya di kawasan Spaoh dan Betong.
“Komitmen anda amat dihargai. Bersama kita membina komuniti yang lebih kuat dan mampu menghadapi apa jua cabaran,” katanya.
Oleh Adi Safarman