

MIRI: Mangsa kebakaran di Kampung Wireless di sini menerima bantuan segera selepas tragedi yang memusnahkan sebuah kedai perabot dan empat rumah pada petang semalam.
Tiga lagi rumah turut mengalami kerosakan akibat bahang dan api yang merebak dengan cepat.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, hadir ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah Miri pagi tadi untuk menyerahkan bantuan serta meninjau sendiri keadaan mangsa yang kini berlindung sementara di pusat berkenaan.
Ada mangsa memilih menetap di PPS, manakala sebahagian lagi menumpang di rumah keluarga terdekat.
Chiew berkata, sebagai tanda keprihatinan, beliau telah memberikan peruntukan bantuan segera sebanyak RM7,000 melalui Pejabat Residen Miri untuk membantu keluarga-keluarga terjejas selepas proses pengesahan dilakukan.
“Saya mendengar sendiri kisah mereka dan memberikan kata-kata semangat. Ini masa untuk kita seluruh komuniti berdiri bersama,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus memantau perkembangan mangsa dari semasa ke semasa serta merujuk isu berkaitan kepada agensi yang berkenaan agar semua bentuk bantuan dapat diselaras dengan lebih berkesan.
Chiew juga menzahirkan penghargaan kepada penduduk yang bertindak pantas membantu menyelamatkan jiran-jiran mereka sewaktu api mula marak, sekali gus mengelakkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Dalam kejadian itu, sebuah kapal luar pesisir turut membantu memadamkan api menggunakan meriam air mereka, tindakan yang disifatkan Chiew sebagai manifestasi solidariti dan keberanian luar biasa.
Oleh Liong Chai Ling