
SIBU: Sukan permotoran di Sibu Jaya berpotensi untuk muncul sebagai antara tarikan utama pelancongan sukan di Sarawak, sekali gus memperkukuh kedudukan wilayah tengah negeri itu sebagai hab aktiviti ekstrem.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pihaknya mahu sukan permotoran di Sibu Jaya diangkat sebagai acara utama dalam penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya di Sarawak.
“Kita perlu berani menganjurkan challenge trophy untuk peminat sukan permotoran. Kita mesti berani membawa program ini ke peringkat antarabangsa. Biar semua datang mencuba trek kita di sini, dan pada masa sama menyediakan platform kepada peminat sukan motor untuk menunjukkan bakat serta mengembangkan potensi mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Motocross Trackday Negeri Sarawak Siri 1 di GP Track Motocross Sibu Jaya, semalam.
Tiong turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan GP Motorsport Sibu Jaya untuk kali keempat, selain mencadangkan agar kelab berkenaan mewujudkan latihan atau sekolah permotoran bagi generasi muda.
Menurutnya, ramai penggemar motosikal mampu menunggang tetapi tidak memahami undang-undang, teknik asas dan kaedah mengendalikan motosikal secara selamat.
“Kalau boleh, kita wujudkan latihan atau sekolah kelab untuk melatih generasi muda supaya mereka lebih profesional, lebih mahir dan dapat menjalankan aktiviti ini dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata kementerian akan terus menyokong pembangunan sukan permotoran kerana ia mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan.
“Tahun depan, kita ingin melihat penganjuran International Championship di Sibu Jaya, dan kita mahu Sibu Jaya bersedia mengambil bahagian,” katanya.
Program berkenaan menarik 72 peserta dari Bau, Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri menerusi kategori MX Novice, MX Open, MX 125/250F, MX 2 Stroke Open, MX Veteran 40+, MX Veteran 50+, Mini Cubcross Open dan Scrambler Open.
Oleh Tarani Lanting