
BINTANGOR: Suasana penuh warna-warni menyelubungi perarakan tanglung dan kereta berhias anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, yang bertujuan memupuk kreativiti serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila pelbagai agensi kerajaan, persatuan, kelab, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta sekolah-sekolah di sekitar Daerah Meradong turut serta memeriahkan perarakan malam tadi.
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, bersama isteri, Datin Kueh Nai Fun, yang hadir memberikan sokongan terhadap penganjuran aktiviti berteraskan perpaduan, budaya dan seni kreatif tempatan.
Pelbagai tanglung dan kereta berhias direka menggunakan lampu LED serta tema pendidikan, budaya dan nilai murni, menjadikan suasana perarakan lebih meriah dan menarik perhatian masyarakat yang membanjiri pusat bandar Bintangor.
Koung Hiing turut menzahirkan penghargaan kepada PPD Meradong dan semua pihak yang terlibat dengan perarakan.


PERARAKAN….ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyaksikan perarakan tanglung dan kereta berhias, malam tadi. Foto Pusat Khidmat Wakil Rakyat Meradong
“Aktiviti seperti ini dapat memperkukuhkan perpaduan, memartabatkan budaya tempatan dan melahirkan generasi muda yang kreatif serta berkeyakinan.
“Saya menggesa agar usaha memupuk kefahaman budaya serta penglibatan aktif pelajar dan komuniti dalam program sebegini terus diperkasakan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui media.
Acara berakhir dengan sesi penilaian untuk memilih tanglung dan kereta berhias paling kreatif, sebelum diteruskan dengan penyampaian penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang menjayakan program.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad, Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) serta Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering.
Oleh Earl Anek