
SIBU: Naib Gabenor Daerah Kelab Lions Antarabangsa 308-A2, Dato Jimmy Tie, telah mengadakan kunjungan rasmi ke Kelab Lions Incheon Marine Sky MJF di Incheon, Korea Selatan, semalam.
Turut menyertai kunjungan rasmi itu ialah Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik yang juga bekas Gabenor Daerah Dato Betty Wong.
Kunjungan rasmi itu diadakan untuk memperkukuhkan persahabatan antarabangsa dan mempromosikan Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik 2026 pada Julai tahun depan di Sibu.
Delegasi telah disambut mesra oleh Presiden Kelab Lions Incheon Marine Sky MJF, Jang Jun Hee. Turut hadir menyambut ialah Naib Presiden Pertama Won Ji Yeon, Setiausaha Won Ji Won serta ahli-ahli jawatankuasa kelab.
Dalam sesi pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai inisiatif khidmat masyarakat, pembangunan belia, perancangan jangka panjang dan pelbagai aktiviti sosial berimpak bagi komuniti masing-masing.
Perbincangan berlangsung secara mesra dan konstruktif, melambangkan hubungan erat serta semangat perpaduan Lions antarabangsa.

Sementara itu, Betty turut memberikan taklimat mengenai skala penganjuran, kepentingan antarabangsa dan penyertaan yang dijangka bagi Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik 2026.
“Acara itu dijangka menghimpunkan pemimpin Lions dari sekurang-kurangnya 17 negara, menjadikannya antara program antarabangsa terbesar di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Kepimpinan Kelab Lions Incheon Marine Sky MJF menyuarakan minat tinggi terhadap sidang kemuncak tersebut dan menyatakan sokongan penuh kepada usaha District 308-A2.
Mereka turut mengesahkan komitmen menghantar wakil bagi menyertai perhimpunan antarabangsa berkenaan.
Kedua-dua pihak turut membincangkan peluang kerjasama dalam penganjuran khidmat bersama, program pertukaran belia serta lawatan timbal balik.
Mereka yakin hubungan berterusan ini akan mengukuhkan jaringan Lions global dan memacu lebih banyak inisiatif khidmat masyarakat bertaraf antarabangsa pada masa depan.
Oleh Akun Giman