
KOTA KINABALU: Dua bekas Ketua Menteri bakal mewarnai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila menjadi sebahagian daripada 596 calon bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada hari penamaan calon hari ini, Ketua Menteri Ke-15 yang juga Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, 68, berdepan saingan empat penjuru mempertahankan DUN Senallang.
Mohd Shafie, Ketua Menteri antara 2018 hingga 2020, memenangi DUN Senallang pada PRN Sabah ke-15 pada 2018 dengan majoriti 5,301 undi dan kemudian mempertahankan DUN itu dengan majoriti 4,631 undi pada PRN lepas.

Ketua Menteri Kesembilan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, 68, yang juga Bendahari UMNO Sabah bakal mempertahankan DUN Usukan yang dimenanginya pada PRN lepas dengan majoriti 4,298 undi.
Salleh, Ketua Menteri antara 1994 hingga 1996, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan selama empat penggal.
Salleh yang mewakili Barisan Nasional berdepan saingan enam penjuru antaranya dengan Datuk Japlin Akim yang pernah menjadi ADUN Usukan selama tiga penggal dan Ketua Wirawati Warisan Isnaraissah Munirah Majilis juga Ahli Parlimen Kota Belud.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 November.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php – Bernama