
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan suku akhir Masters Jepun 2025 hari ini.
Pasangan pilihan kedua kejohanan itu menumpaskan pemain tuan rumah Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate menerusi set penentuan pada aksi pusingan kedua di Kumamoto Prefectural Gymnasium.
Gandingan profesional negara itu tewas 21-23 di set pertama tetapi kembali bangkit memenangi set kedua 21-13 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi set ketiga menyaksikan kedua-dua pasangan berkejar mata sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin memutlakkan kemenangan dengan 26-24 dalam perlawanan berlangsung selama 65 minit.
Menanti pasangan negara di suku akhir, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan.
Mengikut jejak ke suku akhir, pasangan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King selepas mengetepikan cabaran gandingan Jepun Takumi Nomura-Yuichi Shimogami 21-11, 21-19, sekali gus akan bertemu satu lagi wakil tuan rumah Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.
Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri pula menewaskan Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan 14-21, 21-17, 21-19 untuk bertemu rakan senegara Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin.
Keputusan lain melibatkan pemain Malaysia:
Perseorangan wanita:
Wong Ling Ching mn Michelle Li (CAN) 21-17, 16-21, 21-19
Beregu lelaki:
Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita (JPN) mn Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-17, 10-21, 21-14
Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi (JPN) mn Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-13, 21-11
Beregu wanita:
Rui Hirokami-Sayaka Hobara (JPN) mn Ong Xin Yee-Carmen Ting 21-12, 21-9
-Bernama