ADI SAFARMAN
BINTULU: Sanggup menaiki grab semata-mata mahu mendapatkan bekalan makanan. Seorang wanita nekad bersama anak kecilnya keluar bagi mendapatkan makanan selepas terputus bekalan selama tiga hari lalu.
Wanita yang dikenali sebagai Racha, 31, tinggal di kawasan binaan kontrak bangunan dekat Batu 4, Jalan Sebiew bersama seorang anaknya berusia dua tahun memaksakan diri pergi mendapatkan bekalan makanan di Ing Hua Store di Jalan Sultan Iskandar semalam.
Menurut Pengasas Extrameal Bintulu, Francis Ngu Hown Hua memberitahu beliau telah didatangi oleh wanita tersebut yang juga mempunyai tiga orang anak berusia dua hingga sembilan tahun itu menyatakan bahawa keluarganya telah terputus bekalan makanan sejak tiga hari lalu.
“Wanita tersebut telah memberitahu kepada saya bahawa keluarganya tidak makan sejak tiga hari lalu akibat terputus bekalan makanan dan juga tidak mempunyai wang bagi membeli barang keperluan tersebut.
“Beliau akhirnya nekad untuk menaiki grab dari Batu 4, Jalan Sebiew menuju ke Ing Hua Store di Jalan Sultan Iskandar untuk meminta pertolongan daripada Extrameal Bintulu semalam,” katanya.
Francis berkata wanita terbabit turut menceritakan bahawa suami beliau yang bekerja sebagai tukang binaan rumah itu langsung tidak mendapat gaji serta bantuan daripada majikan beliau sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
“Kami (Extrameal Bintulu) agak bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga terbabit apabila dikhabarkan terputus bekalan makanan sejak beberapa hari yang lalu.
“Justeru itu kami dengan rendah hati telah menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas seperti bekalan makanan kepada wanita tersebut bagi meneruskan kelangsungan hidup keluarga mereka,” ujar beliau.
Francis berkata sumbangan yang telah disumbangkan kepada keluarga terbabit berupa beras, telur, gula, minyak dan lain-lain lagi untuk bertahan selama beberapa minggu.
“Extrameal Bintulu bersedia membantu keluarga yang benar-benar berada dalam kesusahan lebih-lebih lagi, yang telah terputus bekalan makanan jadi kita harap golongan ini untuk datang sendiri ke Ing Hua Store di Jalan Sultan Iskandar bagi mendapatkan bekalan makanan.
“Saya juga berpesan kepada golongan ini, jika ada sesiapa yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri, mereka bolehlah menaiki atau menempah grab dan tambangnya nanti boleh dituntut kembali kepada pihak kami. Kami akan cuba sedaya upaya membantu meringakan beban mereka,” ujar beliau.
Dalam pada itu, berita mengenai seorang wanita bersama seorang anak anak kecilnya berusia dua tahun yang nekad bertindak menaiki grab semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan apabila mendapati terputus bekalan makanan dirumahnya itu telah tular di media sosial semalam.
Rata-rata komen netizen memuji tindakan pihak Extrameal Bintulu yang sentiasa membantu orang yang berada di dalam kesusahan tidak mengira bangsa dan latar belakang individu terbabit.
Seorang pemilik akaun facebook bernama Margeretlunti Imey memberi komen:
“Cukup murni hati kamu Mr Francis…beruntung penduduk Bintulu mempunyai warga yang berjiwa baik seperti anda, tanpa mengira agama bangsa semua kamu tidak pinggirkn…di segenap pelusuk Bintulu kamu bantu sedaya upaya…tidak satu pun terlepas pandang…moga rezeki anda dan yang seangkatan dengan anda dipermudahkn diangkat setinggi-tinggi kemuliaan darjat setiap amalan anda semua..semoga dipermudahkan segala urusan.”
Seorang lagi netizen memberi komen yang menggunakan nama Facebook Cynthia Chin berkata:
“Terbaik taukey Francis…Amalan murni kamu pasti diberkati. Kesian ini ibu terpaksa bawa anaknya semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan…Harap mereka dilindungi dari segala penyakit…Amen”