
SIMANGGANG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meneruskan komitmen teguh dalam membantu pembangunan fizikal gereja di negeri ini, terutamanya melalui peruntukan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap keperluan rumah-rumah ibadat membuktikan kesungguhan GPS dalam memastikan rakyat pelbagai agama menikmati pembangunan yang seimbang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makai Serumpu sempena lawatan kerja The Rt. Revd. Bishop Nelson Ugas Bulang ke Parish Saint Lawrence Sabu, dekat sini malam tadi.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya menghimpunkan kira-kira 700 tetamu, sekali gus memperlihatkan sokongan padu masyarakat terhadap penganjuran majlis keagamaan yang mengeratkan hubungan sesama penganut Kristian.
Beliau turut menyatakan bahawa beberapa projek pembangunan terkini telah berjaya direalisasikan dengan bantuan kerajaan negeri, antaranya ialah projek naik taraf tempat letak kereta dan jalan akses di Chapel Saint Margareth, Bayai bernilai RM150,000 dan pembinaan baharu Bangunan Pengurusan Jenazah (Funeral Parlour) Gereja Saint Luke, Sri Aman bernilai RM300,000.
Semua projek tersebut katanya dibiayai menerusi peruntukan kerajaan Sarawak yang disalur melalui wakil rakyat GPS di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie dalam ucapannya pula menekankan kepentingan memelihara perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai agama.
“Sarawak amat unik kerana kita merupakan sebuah negeri sekular yang sering menjadi contoh keharmonian dan toleransi beragama. Rakyat pelbagai agama hidup bersama dalam suasana aman dan saling menghormati,” katanya.
Doris menambah bahawa Sarawak kekal menjadi model perpaduan terbaik apabila masyarakat berbilang kaum dapat mengamalkan budaya serta kepercayaan masing-masing secara bebas dan harmoni.
Pada majlis itu, Harden mengumumkan kelulusan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2026 berjumlah RM30,000 kepada Parochial Church Committee (PCC): RM10,000 kepada Anglican Women Fellowship (AWF) dan RM10,000 kepada Anglican Youth Fellowship (AYF) Gereja Saint Lawrence Sabu.
Sementara itu, Doris turut meluluskan peruntukan MRP 2026 berjumlah RM20,000 kepada PCC Saint Lawrence Sabu.
Majlis turut menyaksikan sumbangan peribadi sebanyak RM2,000 daripada Chin Fah Shiang, pemilik Golden City Restaurant Sri Aman untuk Jawatankuasa Pembinaan Bangunan Gereja Baharu Saint Lawrence.
Oleh Adi Safarman