
LUNDU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di kawasan kebun di Kampung Sebiris, di sini, tengah hari tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mat Undek, 56, ditemukan dalam keadaan terbaring oleh anak saudaranya sekitar 12.30 tengah hari ketika pergi ke kebun.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.36 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seorang lelaki dewasa dalam keadaan terbaring di kawasan kebun dan disahkan meninggal dunia oleh pihak berkuasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, keluarga memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah sejak semalam.
Pasukan bomba kemudian membantu pihak polis mengangkat jasad mangsa sebelum dibawa ke Hospital Lundu untuk tindakan lanjut.