

MUKAH: Seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai buruh ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu operasi di simpang tiga Jalan Ladang Sawit, kawasan syarikat perladangan di sini, semalam
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dijalankan kira-kira 9.30 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan suspek.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menjumpai satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan berat kasar 0.40 gram dan dianggarkan bernilai RM100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ujian urin turut dijalankan terhadap suspek dan mendapati lelaki berusia 35 tahun itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam penagihan dadah sejak tahun 2023,” katanya.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 12 November 2025 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muhamad Rizal menegaskan, IPD Mukah komited membanteras segala bentuk aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penagihan atau pengedaran dadah diminta menyalurkan maklumat melalui talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. Oleh Tarani Lanting