
LAWAS: Seorang pelajar sekolah menengah maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Mitsubishi Xpander dalam kejadian di Kilometer 9, Jalan Lawas–Punang (Kampung Sungai Kudong), tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, kejadian sekitar 12.30 tengah hari itu melibatkan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun dan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang remaja lelaki berusia 15 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Kampung Punang menuju ke bandar Lawas. Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan kawasan selekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta berkenaan secara berhadapan,” katanya dalam kenyataan di sini, petang tadi.
Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan. Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal cedera parah di kepala dan bahu.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Lawas dengan ambulans untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada 1.30 petang,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Lawas untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Liong turut meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Oleh Adeng Edrus