
LAWAS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas telah menerima lawatan sambil belajar daripada Tabika KEMAS Kampung Gaya Baru dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) cawangan Lawas, semalam.
Seramai 93 kanak-kanak dari PASTI dan 43 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bersama guru-guru menyertai lawatan ini.
Rombongan ini disambut mesra warga IPD Lawas dengan beberapa aktiviti yang menarik.
Program dimulai dengan bacaan doa daripada Ustaz Noramin Mohd Amin disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Lawas, Insp Muhammad Akmal Hakim Muhammad Noor.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan turut hadir menyantuni kehadiran kanak-kanak ini.
Program diselitkan dengan Ceramah Anti Buli dan Keselamatan Jalan Raya yang disambut meriah oleh peserta ketika sesi soal jawab.
Program diteruskan dengan perarakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di IPD Lawas dan persembahan simulasi motosikal Honda CBX750 serta pameran kenderaan.
Peserta program turut dibawa melawat di sekitar bangunan IPD Lawas diiringi oleh Koperal Mohamad Zawari Abu Osman dan Koperal Faizul Nizam Zamal.
AMANITA IPD Lawas turut hadir untuk membuat ‘Talk to Us’ dengan memberi penerangan mengenai AMANITA dan VSP (Volunteer Smartphone Patrol) kepada para guru yang hadir.

Program berjalan dengan lancar dan para peserta memberi maklum balas yang positif apabila semua melihat PDRM sentiasa bersama masyarakat.
Mereka turut mengakui bahawa PDRM dan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan.
Oleh Adeng Edrus