KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd menyasar melaksanakan sistem dompet elektronik (e-wallet) bagi pembayaran gaji tanpa tunai untuk seluruh sektor perladangannya termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang suku pertama 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sistem itu telah dilaksanakan di Gua Musang, Kelantan sejak Februari lepas dengan 1,500 pengguna berdaftar di 11 estetnya, sambil menambah menerusi sistem tersebut FGV menganggarkan penjimatan sebanyak RM1 juta setiap tahun dari segi kos pengendalian gaji.
“Kami percaya bahawa e-wallet adalah penyelesaian kewangan yang menyeluruh bagi pekerja kami untuk kemudahan dalam kehidupan seharian dan transaksi setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, syarikat itu menyediakan bantuan pendaftaran e-wallet untuk pekerja ladangnya, dan lebih banyak fungsi akan dikembangkan dalam beberapa fasa termasuk e-kehadiran, e-rungutan dan e-pembelajaran.
Sementara itu, Haris Fadzilah berkata FGV menggandakan usahanya untuk mengambil lebih ramai pekerja dalam kalangan penduduk tempatan sebagai tenaga kerja ladang dengan menawarkan latihan dan pakej menarik.
“Kami berharap dapat menarik lebih banyak pekerja tempatan untuk bekerja dengan kami sejajar dengan matlamat kami untuk mengurangkan 10 peratus daripada 32,000 jumlah pekerja asing yang bekerja dengan FGV,” katanya.
Sistem e-wallet menggunakan aplikasi mudah alih Merchantrade Money di bawah Merchantrade Asia Sdn Bhd dengan pekerja ladang FGV diberikan kad Visa prabayar dan akaun e-wallet individu yang dapat diakses dengan mudah melalui telefon bimbit mereka
Ini membolehkan pekerja melakukan transaksi tanpa tunai, melakukan pengiriman wang kepada ahli keluarga mereka di negara asal, membeli prabayar mudah alih dan mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) dan peniaga berdaftar – Bernama