
LIMBANG: Empat lelaki berumur antara 27 hingga 41 tahun telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun berserta satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Limbang, semalam, kerana menggunakan dadah berbahaya secara berulang.
Hakim Mahkamah Seksyen, Monica Linsua, menjatuhkan hukuman ke atas empat pesalah mengikut Seksyen 15(1)(a) dan 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.
Kesemua mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan penagihan dadah dan hukuman dijalankan secara serentak bermula tarikh ditangkap.
Dalam kes berasingan, seorang penagih tegar berumur 37 tahun turut dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan tiga sebatan di bawah Seksyen 39C(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Tertuduh mempunyai rekod lampau melibatkan penagihan dadah jenis syabu dan mengulangi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jonathan Lim His How, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, berkata hukuman tersebut adalah setimpal dan berperanan memberi pengajaran kepada penagih supaya berhenti serta merta, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya dadah.
Oleh Adeng Edrus