

BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia awal 50-an yang disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol membabitkan seorang wanita di kawasan Hutan Simpan Similajau pada 29 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek telah menyamar sebagai anggota polis dan memperdaya mangsa dengan menawarkan bantuan kewangan sebelum membawa wanita berkenaan ke lokasi kejadian.
“Suspek kemudiannya merampas telefon bimbit mangsa dan merogolnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil risikan selama lima hari membawa kepada penangkapan suspek di Daerah Sibu sekitar 2.30 petang semalam.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392/376 serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” tambahnya.
Nixon turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang memperkenalkan diri sebagai penjawat awam tanpa sebarang pengesahan sahih.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan identiti pasukan keselamatan untuk tujuan jenayah,” tegas beliau.
Oleh Carolyne Utih