



SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas komitmen berterusan dalam menyediakan kemudahan asas yang baik kepada penduduk di kawasan Kalaka.
Katanya, inisiatif kerajaan negeri menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan luar bandar jelas memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, satu lawatan tapak Pengesahan Projek Siap (CPC) Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi projek menaik taraf sistem perparitan di Kampung Tanjung Hulu, Saratok, dekat sini hari ini.
Lawatan berkenaan turut disertai oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili ADUN Kalaka bersama agensi pelaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, kontraktor yang dilantik serta Ketua Kampung Ahmad Samaon.
Projek tersebut dilaksanakan oleh Bayu Construction selaku kontraktor yang dipilih melalui proses cabutan undi yang dijalankan oleh Pejabat Residen Bahagian Betong.
“Projek ini telah disiapkan mengikut jadual dan saya mengucapkan terima kasih atas komitmen tinggi yang telah diberikan oleh JPS Bahagian Betong serta pihak kontraktor yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau menambah, sistem perparitan yang baik amat penting bagi memastikan kelancaran aliran air dan kesejahteraan penduduk setempat, khususnya di kawasan yang sering berdepan risiko banjir kilat.
“Alhamdulillah, kemudahan ini amat diperlukan oleh penduduk Kampung Tanjung Hulu dan pastinya memberi manfaat besar kepada komuniti setempat,” katanya
Mohamad Duri turut memaklumkan bahawa beberapa lagi projek kemudahan asas akan dilaksanakan pada 2026 melalui peruntukan RTP bagi memastikan pembangunan di kawasan DUN Kalaka terus seimbang dan inklusif.
Oleh ADI SAFARMAN