
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan bahawa semua komuniti tanpa mengira kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka sentiasa diberi perhatian dalam usaha memastikan keharmonian dan kemajuan bersama terus terpelihara.
Beliau berkata, setiap komuniti memainkan peranan penting dalam membentuk perpaduan serta kemajuan kawasan dan kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima pandangan serta keperluan daripada semua pihak.
“Bertempat di Pusat Khidmat ADUN Kalaka, saya turut menerima kunjungan daripada Kapitan Gan Eng Kie bersama rombongan. Beberapa perkara turut dibincangkan pada pertemuan tersebut,” katanya.

Menurut Mohamad Duri, pertemuan itu turut menyentuh beberapa isu serta cadangan berkaitan komuniti Cina termasuk pelaksanaan program dan aktiviti kemasyarakatan yang dirancang bagi 2026.
Selain itu, Kapitan Gan Eng Kie juga membangkitkan mengenai penganjuran sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang akan diadakan pada Februari 2026, yang dijangka bertindih dengan Bulan Ramadan.
“Perbincangan ini penting bagi memastikan semua aktiviti masyarakat dapat dijalankan dengan teratur serta menghormati sensitiviti agama dan budaya masing-masing,” jelas beliau.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Kapitan Gan Eng Kie dan rombongan atas kunjungan serta komitmen mereka dalam memperkukuh hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum di kawasan DUN Kalaka.
Oleh Adi Safarman