

SARATOK: Projek membina baharu lorong pejalan kaki di Rumah Lindong, Engkudu Atas dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun ini dengan kos berjumlah RM200,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan menyediakan kemudahan laluan yang lebih selamat dan selesa.
Menurut beliau, projek ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Lindong dengan kawal selia oleh Majlis Daerah Saratok bagi memastikan mutu kerja dan tempoh siap dipatuhi sepenuhnya.
Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat ADUN Krian, James Jimbun yang mewakili Friday telah menghadiri upacara sembahyang pemberkatan projek tersebut. Upacara berkenaan turut disertai penduduk tempatan sebagai tanda permulaan kerja pembinaan.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat ADUN Krian juga turut hadir dalam majlis penyerahan projek RTP 2025 yang telah siap di Rumah Sili, Dabai, Seblak Saratok.
Projek membina sengkuap rumah panjang bernilai RM70,000 itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh singkat menerusi pelaksanaan JKKK dengan pemantauan Majlis Daerah Saratok.
Friday berkata, pelaksanaan projek-projek sedemikian membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menambah baik kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan luar bandar, khususnya di bawah DUN Krian.
“Dengan terlaksananya projek-projek RTP ini, ia menandakan lebih banyak pembangunan akan terus dibawa ke pelusuk kawasan Krian menerusi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Oleh Adi Safarman