KUALA LUMPUR: Iconic Worldwide Bhd mahu mempelbagaikan perniagaan teras sedia adanya dengan meneroka pengeluaran dan dagangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang termasuk pelitup muka pakai buang dan sarung tangan dengan jumlah pelaburan RM155.51 juta.
Kumpulan tersebut dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, pelaburan RM155.51 juta itu akan digunakan bagi pembelian tanah dan pembinaan kemudahan baharu, pemasangan dan pengoperasian mesin pengeluaran, peralatan lain dan modal kerja.
“Ia akan dibiayai menerusi gabungan dana dijana sendiri, pinjaman bank dan/atau pengumpulan dana,” kata kumpulan itu.
Iconic Worldwide telah mengenal pasti dan merancang membeli sebidang tanah berukuran 2.4 hektar terletak di Batu Kawan, Pulau Pinang bagi membina kemudahan pembuatan baharu.
Sejumlah 22 mesin pengeluaran terdiri daripada 12 mesin pengeluaran sarung tangan dan 10 mesin pengeluaran pelitup muka akan dipasang dan beroperasi dalam masa 12 bulan, dengan jumlah kos RM78.2 juta.
“Kumpulan merancang memasang dan mengoperasikan mesin pengeluaran sarung tangan dan pelitup muka pakai buang yang dijangka menghasilkan kapasiti pengeluaran minimum kira-kira 3.1 bilion pasang sarung tangan setahun dan 222.7 juta pelitup muka setahun,” kata syarikat itu.
Cadangan pempelbagaian itu dijangka selesai pada separuh kedua 2020, dengan kilang baharu dianggarkan siap dalam tempoh 12 bulan daripada pemulaan pembinaan dan beroperasi pada separuh kedua 2021.
Ketika ini, Iconic terlibat dalam pembangunan dan penjualan hartanah komersial dan kediaman serta pelancongan dan perkhidmatan berkaitan lain seperti pengurusan hospitaliti.
Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2020, pembangunan hartanah dan pelancongan masing-masing menyumbang 67.2 peratus dan 30.4 peratus kepada hasil kumpulan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet (gambar) berkata, cadangan pempelbagaian itu akan menyediakan arus pendapatan alternatif kepada kumpulan, mengurangkan risiko penumpuan perniagaannya dan mengurangkan pergantungan kepada perniagaan teras sedia ada.
Beliau berkata, ia juga akan menyediakan peluang kepada kumpulan untuk meningkatkan hasilnya dan mengukuhkan portfolio perniagaan bagi menambah baik prestasi kewangan.
“Kami berhasrat mengeluarkan dan meniagakan sarung tangan susu getah dan nitril bagi kegunaan isi rumah, perindustrian dan perubatan serta dua jenis ytama pelitup muka pakai buang iaitu pelitup mula perubatan pakai buang tiga lapis dan pelitup muka perubatan pakai buang,” katanya.- Bernama