
MIRI: Selepas beberapa tahun tertangguh, Projek Menurap Jalan Ulu Tinjar akhirnya bersedia dimulakan apabila persiapan bagi Majlis Pecah Tanahrasmi kini giat dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri bersama agensi berkaitan.
Mesyuarat penyelarasan khas telah diadakan di Bilik Mesyuarat JKR Miri baru-baru ini bagi memastikan majlis yang dijadualkan berlangsung pada 8 November 2025 berjalan lancar dan mengikut jadual.
Majlis pecah tanah itu akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut sumber, pelaksanaan projek ini sebelum ini tertunda disebabkan cabaran teknikal dan penyelarasan antara agensi pelaksana, namun kini semua isu berbangkit telah diselesaikan hasil komitmen kerajaan negeri dan campur tangan Datuk Amar Douglas sendiri.
Projek jalan berturap tersebut dilihat sebagai antara inisiatif penting kerajaan negeri untuk meningkatkan akses ke kawasan luar bandar, khususnya bagi penduduk di kawasan Tinjar yang telah lama menantikan kemudahan jalan raya yang lebih selesa dan selamat.
JKR bersama agensi pelaksana kini sedang memperincikan aspek teknikal terakhir melibatkan keselamatan tapak, laluan trafik sementara dan penyediaan kemudahan asas bagi memastikan kerja-kerja penurapan dapat dilaksanakan dengan lancar selepas majlis rasmi berlangsung.