BAYERN Munich secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada playmaker dari Brazil, Philippe Coutinho setelah perjanjian pinjamannya dari Barcelona selama setahun berakhir dengan juara Eropah yang baharu dinobatkan itu menolak, seperti yang diharapkan, untuk menandatanganinya secara kekal.
“Dengan kreativiti dan teknik yang sangat baik, dia menghidupkan permainan kami dalam musim kami memenangi tiga gelaran,” kata Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, yang menjelaskan bulan lalu bahwa mereka tidak akan membawa Coutinho ke Munich secara kekal.
Pemain berusia 28 tahun itu memulakan semula kariernya di Bavaria selepas tempoh yang mengecewakan di Barcelona berikutan perpindahannya dari Liverpool pada 2018.
Coutinho menjaringkan 11 gol, mencipta sembilan gol lagi, dalam 38 perlawanan untuk Bayern, termasuk menjaringkan dua gol dalam kemenangan besar 8-2 ke atas kelab asalnya Barcelona di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara UEFA.
Dia juga muncul sebagai pemain gantian dalam babak kedua kemenangan 1-0 Bayern ke atas Paris Saint-Germain dalam final Lisbon.
Coutinho bergelut untuk tersenarai dalam pasukan utama di Munich setelah ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick menggantikan Niko Kovac pada November lalu, lebih memilih Thomas Mueller dalam peranan sebagai pemain tengah menyerang bebanding pemain dari Brazil itu.
Setelah membayar 8.5 juta Euro untuk meminjamkan Coutinho, Bayern memilih untuk tidak menggunakan pilihan membeli 120 juta Euro.
“Melakukan pelaburan selanjutnya sebesar ini dalam masa ekonomi yang sukar ini … juga sukar bagi kita,” kata Rummenigge pada pertengahan Ogos.
Namun, Coutinho nampaknya mempunyai masa depan di Barcelona.
Ketua jurulatih baharu, Ronald Koeman dilaporkan menelefonnya pada Isnin lalu untuk meyakinkan pemain dari Brazil itu bahawa dia adalah sebahagian dari perancangannya untuk musim yang akan datang. – AFP