

KANOWIT: Usaha memperkukuh hubungan antara pihak polis dan institusi pendidikan terus dipertingkatkan melalui lawatan pemantauan oleh Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal bersama Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit, hari ini.
Lawatan yang diadakan dari 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu bertujuan menilai tahap keselamatan serta memupuk kesedaran disiplin dan pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar.
Menurut Junical, kehadiran pihak polis bukan sahaja bertujuan memantau, tetapi juga mendekati warga sekolah bagi menggalakkan kerjasama dua hala antara polis dan komuniti pendidikan.
“Persekitaran pembelajaran yang selamat dan harmoni hanya dapat dicapai melalui sokongan bersama antara pihak sekolah, pelajar serta pasukan polis,” katanya.
Beliau turut meninjau kawasan asrama lelaki dan perempuan serta beberapa bilik darjah bagi memastikan keadaan persekitaran berada dalam keadaan baik dan terkawal.
Tiada aduan salah laku atau jenayah dilaporkan sepanjang pemantauan dijalankan, dan lawatan tersebut turut mendapat sambutan positif daripada pihak sekolah.
Junical menambah, pihaknya komited untuk meneruskan program seumpama ini bagi memastikan pelajar sentiasa peka terhadap kepentingan keselamatan diri dan disiplin di sekolah.
Oleh Tarani Lanting