

APM Daerah Spaoh bersama APM Betong dan APM Debak telah berjaya melaksanakan latihan bersama di Nanga Tiga, Layar semalam. Foto: APM Spaoh
BETONG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh dengan kerjasama APM Betong dan APM Debak berjaya melaksanakan latihan bersama di Nanga Tiga, Layar semalam, sebagai usaha meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan anggotanya.
Menurut kenyataan APM Spaoh, latihan tersebut memberi tumpuan kepada aspek fizikal, mental serta kemahiran praktikal dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan dan cabaran di lapangan.
Antara pengisian utama ialah latihan jalan lasak yang bertujuan menguji ketahanan fizikal serta mental anggota selain memupuk semangat disiplin dan kerja berpasukan yang tinggi.
Latihan itu turut menekankan aspek kecekapan pancaindera, kesabaran serta kebolehan bertahan dalam keadaan sukar, di samping membiasakan diri dengan persekitaran alam semula jadi.
Selain itu, latihan pengendalian mangsa tercekik (choking) dijalankan bagi memastikan anggota APM tahu cara bertindak pantas dan berkesan dalam menyelamatkan nyawa mangsa yang mengalami kecemasan saluran pernafasan.


APM Daerah Spaoh bersama APM Betong dan APM Debak telah berjaya melaksanakan latihan bersama di Nanga Tiga, Layar semalam. Foto: APM Spaoh
Melalui latihan ini, anggota didedahkan kepada teknik yang betul untuk mengeluarkan objek yang menyumbat saluran udara serta langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kecederaan serius.
Turut dijalankan ialah latihan pengendalian masakan rimba yang bertujuan membentuk kerjasama, meningkatkan keyakinan diri serta melatih kemahiran bertahan menggunakan sumber semula jadi di dalam hutan.
Program ini juga menjadi medan untuk memupuk tanggungjawab, kesedaran terhadap alam sekitar dan kreativiti dalam menyediakan makanan menggunakan peralatan terhad.
Latihan kali ini turut dikendalikan oleh Pegawai APM Daerah Betong, Kapten Siti Huzaimah Ibrahim bersama Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz, Leftenan Muda Mohd Faizul Johari, Pembantu Pertahanan Awam KP1 serta jurulatih-jurulatih lain yang berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing.
Oleh Adi Safarman