

PASUKAN BOMBA….Menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan berhampiran Bulatan Dudong Jalan Sibu-Durin, malam tadi. Foto JBPM Zon Sibu
SIBU: Seorang lelaki dan seorang wanita terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan berhampiran Bulatan Dudong, Jalan Sibu-Durin, malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.44 malam.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan lori 15 tan membawa muatan buah sawit yang diletakkan di tepi jalan akibat kerosakan.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang penumpang wanita berusia 31 tahun tersepit di bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda. Ketua operasi mengarahkan pasukan keluaran operasi (PKO) menggunakan sut perlindungan diri (PPE) lengkap serta peralatan ‘power unit’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka diserahkan kepada pasukan ambulans Hospital Sibu untuk rawatan lanjut, manakala pemandu lelaki berusia 33 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
“Pasukan operasi turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak selepas kenderaan terlibat dialihkan. Operasi tamat sepenuhnya pada 2.00 pagi,” ujar beliau.